BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, February 17, 2010

RENUNGI PENGERTIAN TERSIRAT TENTANG UPAYA BAHASA

Jika kita memerhatikan ibu ayam dan anak-anaknya, lazimnya kita melihat serta mendengar ibu ayam mengeluarkan bunyi-bunyi yang tertentu. Dalam masa yang pantas, anak-anak ayam yang berpecah-pecah berlari-lari menghampiri ibunya. Hasil tinjauan menunjukkan bahawa ibu ayam mengeluarkan bunyi-bunyi berkaitan untuk memberitahu kepada anak-anaknya tentang makanan yang telah ditemukan.

Dalam peristiwa lain, tarian yang dilakukan oleh seekor lebah dalam bentuk angka lapan dapat memberitahu teman-teman lebah yang lain bahawa ada sumber, kuantiti, tempat dan jarak manisan. Kepantasan lebah berkenaan menari, selain kekerapan kibasan sayapnya memaparkan jumlah serta jarak tempat manisan. Pembentukan angka lapan adalah tentang arah manisan yang hendak diperoleh (Von Frisch, 1981).

Bagi kes lain, terdapat seekor kera memberitahu teman-teman kera yang lain tentang ancaman bahaya dan kecemasan. Jika bahaya datang dari bawah pohon misalnya, ada harimau yang sedang lalu. Kera tersebut memberitahu dengan cara tertentu sehingga kera-kera lain berlari untuk bersembunyi di bahagian atas pohon. Sebaliknya, jika wujudnya ancaman bahaya dari arah atas, ada burung helang yang sedang terbang. Berdasarkan kaedah yang tertentu, kera-kera diberitahu supaya bersembunyi di bahagian bawah pohon.

Daripada tiga contoh berkenaan, jelas bahawa ayam, lebah dan kera boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan “bahasa” masing-masing. Begitulah juga halnya bagi manusia. Seseorang mudah berkomunikasi dengan seseorang yang lain menerusi bahasa. Walau bagaimanapun, ada satu persoalan yang timbul. Apakah bahasa haiwan sama dengan bahasa manusia?

Walaupun terdapat beberapa persamaan, ada ciri-ciri khusus yang membezakan bahasa manusia dengan bahasa haiwan. Pertama, bahasa manusia bergantung pada struktur. Contohnya, tidak dibentuk rentetan sembarangan bagi perkataan dalam ayat. Pembentukan rentetan adalah saling bergantung antara satu sama lain. Hakikatnya, urutan perkataan memang kelihatan linear, tetapi antara satu perkataan dengan satu perkataan lain membentuk satu struktur yang berhierarki.

0 comments: