BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 12, 2010

PROSES BAHASA

Pelaksanaan Proses Penerbitan Bahasa
Pelaksanaan proses penerbitan bahasa membabitkan perancangan fonetik dan artikulasi pertuturan. Proses ini melibatkan bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia. Manusia akan membentuk dan memilih bunyi-bunyi bahasa yang sesuai berasaskan persekitaran untuk menerbitkan bahasa. Contohnya, lafaz bunyi em dalam bahasa Melayu boleh menggantikan ya bagi ayat tanya yang berikut:

Kamu yang makan biskut adik?
Anda yang hadir tadi?


Lafaz em adalah norma-norma yang disepakati oleh masyarakat penutur bahasa Melayu untuk menggantikan lafaz ya. Manusia memilih bunyi-bunyi tersebut berdasarkan apa-apa yang mereka dapati berasaskan persekitaran untuk menerbitkan bahasa-bahasa yang berkaitan. Walau bagaimanapun, perlu penekanan bahawa hanya penutur dan pendengar sahaja yang hadir dalam konteks tersebut boleh memahami peristiwa bahasa yang sedang berlaku.

Tatacara Murid Memilih dan Membentuk Maklumat
Bahasa berfungsi sebagai alat komunikasi yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan bermasyarakat. Di sinilah wujudnya keterlibatan secara langsung otak manusia semasa mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa. Bahasa reseptif adalah bahasa yang diterima melalui deria pendengaran dan bacaan bahasa, iaitu ekspresi bahasa yang dihasilkan melalui percakapan dan penulisan. Bahasa yang dibunyikan oleh penutur pertama akan masuk dalam otak pendengar dan seterusnya bahasa pendengar akan dilontarkan sebagai tindak balas sewaktu aktiviti berbahasa sedang berlangsung.

Semasa seseorang bertutur atau mendengar atau mungkin memahami sesuatu pertuturan, terdapat huraian yang berlaku dalam otak. Aktiviti ini yang dikenali sebagai proses bahasa. Bagi proses penerbitan bahasa pertuturan, pembahagiannya dilihat pada tiga aspek, iaitu konseptualisasi, formulasi dan pelaksanaan.

Semasa proses konseptualisasi berlaku, seseorang penutur membentuk sesuatu niat lalu memilih maklumat yang releven daripada ingatan atau persekitaran sebagai persediaan untuk membina pertuturan yang dihasratkan. Inilah yang disebutkan sebagai proses peringkat mesej. Operasi semantik dalam proses penerbitan melibatkan pemilihan perkataan yang sesuai dengan idea dan makna yang dihasratkan. Proses memilih perkataan ini disebut sebagai pengleksikalan. Operasi fonologi pula melibatkan tugas menerbitkan idea dalam bentuk bunyi bahasa yang dihasilkan oleh sistem ujaran seperti lidah.

Bagaimanakah seseorang murid memperoleh maklumat dalam sesuatu proses pembelajaran? Rangsangan-rangsangan persekitaran luar akan diterima dalam sistem saraf melalui deria-deria. Maklumat akan ditafsir dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada stor ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf. Pengalaman-pengalaman yang disimpan dalam stor ingatan jangka panjang adalah penting bagi manusia untuk mengaitkannya dengan pengalaman-pengalaman yang baharu demi memudahkan proses pembelajaran berlaku. Proses ini turut membabitkan Fasa Gagne, iaitu motivasi, kefahaman, penyimpanan, penahanan, ingatan kembali, generalisasi, prestasi dan maklum balas. Berikut adalah pernyataan-pernyataan tentang fasa:

Motivasi
Fasa motivasi berlaku dalam sesuatu proses pembelajaran. Lazimnya, murid belajar kerana didorong oleh motivasi tertentu. Tanpa motivasi, proses pembelajaran tidak akan bermakna dan berkesan. Oleh itu, motivasi memainkan peranan yang penting dalam mana-mana proses pembelajaran. Manusia berusaha belajar kerana mempunyai motif yang tertentu. Motivasi merupakan tindakan yang menimbulkan motif supaya belajar. Oleh itu, motivasi digunakan untuk menggalakkan murid supaya berusaha untuk belajar.

Tanggapan
Fasa ini melibatkan aktiviti pemerhatian dan pemilihan rangsangan yang tepat dan relevan. Dalam fasa ini, seseorang murid akan menumpukan perhatian terhadap sesuatu rangsangan yang dimotivasikan dan memilih serta membezakan rangsangan-rangsangan melalui organ derianya. Contohnya, semasa belajar di dalam bilik darjah, seorang murid menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran guru dan menolak gangguan lain, seperti bunyi perbualan daripada rakan sekelas yang lain.

Penyimpanan
Jika seseorang murid telah berjaya memilih rangsangan yang relevan dan mempersepsikannya dengan tepat, maka rangsangan tersebut akan dibawa oleh sistem saraf dalam stor ingatan jangka pendek. Di situ, rangsangan tersebut akan dikodkan dengan suatu cara yang ringkas dan tersendiri, seperti merekodkan isi-isi penting dalam bentuk yang mudah disimpan.

Penahanan
Selepas rangsangan dipilih dan dikodkan dalam stor ingatan jangka pendek, sebahagian atau keseluruhanya akan disalurkan serta disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Kod-kod yang disimpan dalam stor jangka panjang akan ditransformasi dan disusun semula dengan satu sistem yang lebih kekal dalam ingatan serta lebih mudah dikeluarkan. Fasa ini dinamakan fasa penahanan kerana menyimpan maklumat, peristiwa atau pengalaman yang diperoleh dengan cara yang sistematik.

Mengingat Kembali
Fasa mengingat kembali merupakan tindakan mencari maklumat atau pengalaman yang telah disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Tindakan ini biasanya digerakkan oleh rangsangan luaran atau motif dalaman. Misalnya, seseorang murid berusaha mengingat semula apa-apa yang telah dipelajarinya untuk menjawab soalan guru.

Generalisasi
Fasa generalisasi ini merujuk kepada fasa pemindahan pembelajaran atau fasa aplikasi, iaitu seseorang murid boleh mengingat kembali maklumat dalam stor ingatan jangka panjang dan menggunakannya untuk situasi yang sama.
Misalnya, seseorang murid telah mengetahui bentuk kata berimbuhan, iaitu terdapatnya imbuhan, sama ada awalan, akhiran ataupun sisipan. Murid akan membuat generalisasi bahawa bentuk berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai morfem terikat.

Prestasi
Fasa prestasi juga dikenali sebagai fasa perlakuan. Fasa ini boleh dilihat dan diukur daripada perubahan tingkah laku seseorang murid dalam pembelajaran. Fasa prestasi berlaku apabila seseorang murid bertindak balas dengan perubahan tingkah lakunya sebaik sahaja isyarat rangsangan diberikan. Misalnya, murid bertindak balas dengan menjawab soalan guru secara lisan.

Maklum Balas
Fasa ini merupakan berlaku selepas seseorang murid telah bertindak balas dengan prestasi atau perubahan tingkah laku yang tepat. Tindakan maklum balas mempunyai fungsi peneguhan, seperti memberikan galakan kepada orang yang telah menunjukkan prestasi yang tepat. Contohnya, seseorang murid yang dapat memberikan jawapan wajar diberikan pujian oleh guru.

0 comments: