BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, March 4, 2010

Gangguan Komunikasi

Gangguan komunikasi bermaksud berbagai-bagai masalah dalam berbahasa, bertutur dan mendengar. Gangguan bertutur dan berbahasa berpunca daripada masalah artikulasi, suara, kegagapan, aphasia (kesulitan menggunakan kata-kata yang biasanya kesan daripada kecederaan otak). Selain itu, gangguan juga melibatkan kelambatan bertutur atau berbahasa. Kelambatan bertutur dan berbahasa disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuklah kehilangan pendengaran.

Gangguan bertutur dan berbahasa juga berhubung rapat dengan masalah lain, seperti fungsi otot mulut atau oral motor, di samping fungsi pendengaran. Kelambatan dan gangguan bermula daripada bentuk yang sederhana, seperti bunyi suara yang “tidak normal” (sengau dan serak) hinggalah ketidakmampuan untuk memahami atau menggunakan bahasa. Kemungkinan juga ketidakmampuan mekanisme oral motor untuk bertutur.
Gangguan pendengaran adalah terdiri daripada gangguan pendengaran sebahagian dan pendengaran menyeluruh atau tuli. Tuli didefinisikan sebagai kehilangan pendengaran yang mengakibatkan komunikasi menjadi sukar atau tidak dapat dilakukan tanpa bantuan amplifikasi (alat bantu dengar).

Terdapat empat jenis gangguan pendengaran. Pertama, gangguan pendengaran konduktif, iaitu terganggunya pendengaran akibat penyakit atau telinga tersumbat di bahagian luar atau tengah (biasanya dapat diatasi dengan alat bantu dengar). Kedua, gangguan sensorineural, iaitu terganggunya pendengaran akibat kerosakan pada sel-sel rambut sensoris yang terdapat pada telinga dalam atau pada pembuluh saraf. Ketiga, gangguan pendengaran gabungan (antara gangguan pendengaran konduktif dan sensorineural), manakala gangguan pendengaran sentral yang dimaksudkan gangguan pendengaran akibat kecederaan atau rosaknya saraf-saraf otak.

Banyak gangguan komunikasi berlaku adalah kesan daripada gangguan belajar (learning disability), palsi serebral (cerebral palsy), kebelakangan mental (mental retardation) dan kerosakan pada celahan bibir dan lelangit mulut.

Thursday, February 25, 2010

HIPOTESIS NURANI

Berdasarkan penyelidikan empirikal, terdapat dua teori utama yang membincangkan cara-cara manusia memperoleh bahasa. Teori pertama mempertahankan bahawa bahasa yang diperoleh manusia adalah secara alamiah atau dinuranikan. Teori ini juga dikenali sebagai Hipotesis Nurani dalam linguistik. Teori yang kedua mempertahankan bahasa yang diperoleh manusia adalah secara dipelajari. Menurut Chomsky, manusia telah dibekalkan dengan rumus-rumus bahasa sejak lahir.

Saturday, February 20, 2010

PARALINGUISTIK DAN PROSODI

Paralinguistik
Bahasa gerak-geri dikatakan paralinguistik kerana istilahnya membabitkan pelbagai bentuk komunikasi yang menggunakan gerak badan atau gerak isyarat sebagai ganti atau pelengkap bahasa lisan dan bentuk komunikasi lain.

Paralinguistik telah diselidiki secara terancang oleh ahli-ahli psikologi sosial. Bagi pertuturan harian dan psikologi popular, istilah berkenaan sering digunakan untuk bahasa gerak-geri luar kawalan, walaupun sebenarnya perbezaan antara voluntari dengan luar kawalan sering tidak jelas. Umpamanya, senyuman atau lambaian boleh dilakukan secara voluntari atau luar kawalan.

Bahasa gerak-geri voluntari merujuk kepada pergerakan, gerak isyarat dan lagak yang dibuat dengan sengaja (contohnya, senyum, gerak tangan dan mengajuk tindakan). Bahasa gerak-geri juga dikaitkan dengan pelbagai jenis komunikasi tanpa bunyi, seperti gerak isyarat formal (misalnya, oleh pengarah filem).

Dalam pada itu, terdapat satu contoh yang ketara tentang paralinguistik. Air muka misalnya sering dikatakan sebagai bentuk bahasa gerak-geri, selain cara untuk mengesan perasaan seseorang.

Prosodi
Prosodi adalah kajian tentang pelbagai aspek persajakan (intonasi, rentak, irama dan sebagainya). Prosodi juga bermaksud pola tekanan dan intonasi dalam sesuatu bahasa.
(Sumber: Kamus Dewan Edisi Empat, DBP)

Thursday, February 18, 2010

PERTUKARAN KOD

Pengertian
- Penggunaan kod yang melibatkan dua atau lebih ragam linguistik dalam perbualan atau interaksi yang sama (Carol & Ury, 1977).
- Penggunaan dua bahasa secara berselang-seli (Valdes & Fallis, 1978).

Pengkhususan Pertukaran Kod
- Metafora
- Situasi
- Wacana

Faktor-Faktor Pertukaran Kod
- Topik Perbincangan
- Jantina
- Etnik Pengkaji
- Strategi Pelisanan
- Faktor Pendidikan
- Persekitaran Tempat Bertugas
- Pengaruh Sejarah

Wednesday, February 17, 2010

RENUNGI PENGERTIAN TERSIRAT TENTANG UPAYA BAHASA

Jika kita memerhatikan ibu ayam dan anak-anaknya, lazimnya kita melihat serta mendengar ibu ayam mengeluarkan bunyi-bunyi yang tertentu. Dalam masa yang pantas, anak-anak ayam yang berpecah-pecah berlari-lari menghampiri ibunya. Hasil tinjauan menunjukkan bahawa ibu ayam mengeluarkan bunyi-bunyi berkaitan untuk memberitahu kepada anak-anaknya tentang makanan yang telah ditemukan.

Dalam peristiwa lain, tarian yang dilakukan oleh seekor lebah dalam bentuk angka lapan dapat memberitahu teman-teman lebah yang lain bahawa ada sumber, kuantiti, tempat dan jarak manisan. Kepantasan lebah berkenaan menari, selain kekerapan kibasan sayapnya memaparkan jumlah serta jarak tempat manisan. Pembentukan angka lapan adalah tentang arah manisan yang hendak diperoleh (Von Frisch, 1981).

Bagi kes lain, terdapat seekor kera memberitahu teman-teman kera yang lain tentang ancaman bahaya dan kecemasan. Jika bahaya datang dari bawah pohon misalnya, ada harimau yang sedang lalu. Kera tersebut memberitahu dengan cara tertentu sehingga kera-kera lain berlari untuk bersembunyi di bahagian atas pohon. Sebaliknya, jika wujudnya ancaman bahaya dari arah atas, ada burung helang yang sedang terbang. Berdasarkan kaedah yang tertentu, kera-kera diberitahu supaya bersembunyi di bahagian bawah pohon.

Daripada tiga contoh berkenaan, jelas bahawa ayam, lebah dan kera boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan “bahasa” masing-masing. Begitulah juga halnya bagi manusia. Seseorang mudah berkomunikasi dengan seseorang yang lain menerusi bahasa. Walau bagaimanapun, ada satu persoalan yang timbul. Apakah bahasa haiwan sama dengan bahasa manusia?

Walaupun terdapat beberapa persamaan, ada ciri-ciri khusus yang membezakan bahasa manusia dengan bahasa haiwan. Pertama, bahasa manusia bergantung pada struktur. Contohnya, tidak dibentuk rentetan sembarangan bagi perkataan dalam ayat. Pembentukan rentetan adalah saling bergantung antara satu sama lain. Hakikatnya, urutan perkataan memang kelihatan linear, tetapi antara satu perkataan dengan satu perkataan lain membentuk satu struktur yang berhierarki.

Friday, February 12, 2010

PROSES BAHASA

Pelaksanaan Proses Penerbitan Bahasa
Pelaksanaan proses penerbitan bahasa membabitkan perancangan fonetik dan artikulasi pertuturan. Proses ini melibatkan bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia. Manusia akan membentuk dan memilih bunyi-bunyi bahasa yang sesuai berasaskan persekitaran untuk menerbitkan bahasa. Contohnya, lafaz bunyi em dalam bahasa Melayu boleh menggantikan ya bagi ayat tanya yang berikut:

Kamu yang makan biskut adik?
Anda yang hadir tadi?


Lafaz em adalah norma-norma yang disepakati oleh masyarakat penutur bahasa Melayu untuk menggantikan lafaz ya. Manusia memilih bunyi-bunyi tersebut berdasarkan apa-apa yang mereka dapati berasaskan persekitaran untuk menerbitkan bahasa-bahasa yang berkaitan. Walau bagaimanapun, perlu penekanan bahawa hanya penutur dan pendengar sahaja yang hadir dalam konteks tersebut boleh memahami peristiwa bahasa yang sedang berlaku.

Tatacara Murid Memilih dan Membentuk Maklumat
Bahasa berfungsi sebagai alat komunikasi yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan bermasyarakat. Di sinilah wujudnya keterlibatan secara langsung otak manusia semasa mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa. Bahasa reseptif adalah bahasa yang diterima melalui deria pendengaran dan bacaan bahasa, iaitu ekspresi bahasa yang dihasilkan melalui percakapan dan penulisan. Bahasa yang dibunyikan oleh penutur pertama akan masuk dalam otak pendengar dan seterusnya bahasa pendengar akan dilontarkan sebagai tindak balas sewaktu aktiviti berbahasa sedang berlangsung.

Semasa seseorang bertutur atau mendengar atau mungkin memahami sesuatu pertuturan, terdapat huraian yang berlaku dalam otak. Aktiviti ini yang dikenali sebagai proses bahasa. Bagi proses penerbitan bahasa pertuturan, pembahagiannya dilihat pada tiga aspek, iaitu konseptualisasi, formulasi dan pelaksanaan.

Semasa proses konseptualisasi berlaku, seseorang penutur membentuk sesuatu niat lalu memilih maklumat yang releven daripada ingatan atau persekitaran sebagai persediaan untuk membina pertuturan yang dihasratkan. Inilah yang disebutkan sebagai proses peringkat mesej. Operasi semantik dalam proses penerbitan melibatkan pemilihan perkataan yang sesuai dengan idea dan makna yang dihasratkan. Proses memilih perkataan ini disebut sebagai pengleksikalan. Operasi fonologi pula melibatkan tugas menerbitkan idea dalam bentuk bunyi bahasa yang dihasilkan oleh sistem ujaran seperti lidah.

Bagaimanakah seseorang murid memperoleh maklumat dalam sesuatu proses pembelajaran? Rangsangan-rangsangan persekitaran luar akan diterima dalam sistem saraf melalui deria-deria. Maklumat akan ditafsir dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada stor ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf. Pengalaman-pengalaman yang disimpan dalam stor ingatan jangka panjang adalah penting bagi manusia untuk mengaitkannya dengan pengalaman-pengalaman yang baharu demi memudahkan proses pembelajaran berlaku. Proses ini turut membabitkan Fasa Gagne, iaitu motivasi, kefahaman, penyimpanan, penahanan, ingatan kembali, generalisasi, prestasi dan maklum balas. Berikut adalah pernyataan-pernyataan tentang fasa:

Motivasi
Fasa motivasi berlaku dalam sesuatu proses pembelajaran. Lazimnya, murid belajar kerana didorong oleh motivasi tertentu. Tanpa motivasi, proses pembelajaran tidak akan bermakna dan berkesan. Oleh itu, motivasi memainkan peranan yang penting dalam mana-mana proses pembelajaran. Manusia berusaha belajar kerana mempunyai motif yang tertentu. Motivasi merupakan tindakan yang menimbulkan motif supaya belajar. Oleh itu, motivasi digunakan untuk menggalakkan murid supaya berusaha untuk belajar.

Tanggapan
Fasa ini melibatkan aktiviti pemerhatian dan pemilihan rangsangan yang tepat dan relevan. Dalam fasa ini, seseorang murid akan menumpukan perhatian terhadap sesuatu rangsangan yang dimotivasikan dan memilih serta membezakan rangsangan-rangsangan melalui organ derianya. Contohnya, semasa belajar di dalam bilik darjah, seorang murid menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran guru dan menolak gangguan lain, seperti bunyi perbualan daripada rakan sekelas yang lain.

Penyimpanan
Jika seseorang murid telah berjaya memilih rangsangan yang relevan dan mempersepsikannya dengan tepat, maka rangsangan tersebut akan dibawa oleh sistem saraf dalam stor ingatan jangka pendek. Di situ, rangsangan tersebut akan dikodkan dengan suatu cara yang ringkas dan tersendiri, seperti merekodkan isi-isi penting dalam bentuk yang mudah disimpan.

Penahanan
Selepas rangsangan dipilih dan dikodkan dalam stor ingatan jangka pendek, sebahagian atau keseluruhanya akan disalurkan serta disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Kod-kod yang disimpan dalam stor jangka panjang akan ditransformasi dan disusun semula dengan satu sistem yang lebih kekal dalam ingatan serta lebih mudah dikeluarkan. Fasa ini dinamakan fasa penahanan kerana menyimpan maklumat, peristiwa atau pengalaman yang diperoleh dengan cara yang sistematik.

Mengingat Kembali
Fasa mengingat kembali merupakan tindakan mencari maklumat atau pengalaman yang telah disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Tindakan ini biasanya digerakkan oleh rangsangan luaran atau motif dalaman. Misalnya, seseorang murid berusaha mengingat semula apa-apa yang telah dipelajarinya untuk menjawab soalan guru.

Generalisasi
Fasa generalisasi ini merujuk kepada fasa pemindahan pembelajaran atau fasa aplikasi, iaitu seseorang murid boleh mengingat kembali maklumat dalam stor ingatan jangka panjang dan menggunakannya untuk situasi yang sama.
Misalnya, seseorang murid telah mengetahui bentuk kata berimbuhan, iaitu terdapatnya imbuhan, sama ada awalan, akhiran ataupun sisipan. Murid akan membuat generalisasi bahawa bentuk berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai morfem terikat.

Prestasi
Fasa prestasi juga dikenali sebagai fasa perlakuan. Fasa ini boleh dilihat dan diukur daripada perubahan tingkah laku seseorang murid dalam pembelajaran. Fasa prestasi berlaku apabila seseorang murid bertindak balas dengan perubahan tingkah lakunya sebaik sahaja isyarat rangsangan diberikan. Misalnya, murid bertindak balas dengan menjawab soalan guru secara lisan.

Maklum Balas
Fasa ini merupakan berlaku selepas seseorang murid telah bertindak balas dengan prestasi atau perubahan tingkah laku yang tepat. Tindakan maklum balas mempunyai fungsi peneguhan, seperti memberikan galakan kepada orang yang telah menunjukkan prestasi yang tepat. Contohnya, seseorang murid yang dapat memberikan jawapan wajar diberikan pujian oleh guru.

PEMEROLEHAN BAHASA

Pemerolehan Bahasa Pertama (B1)
Pemerolehan bahasa pertama (B1) terjadi apabila kanak-kanak yang pada mulanya tidak mempunyai bahasa, tetapi kini telah memperoleh satu bahasa. Antara keunikan yang ada pada manusia dapat diperhatikan pada kebolehan kanak-kanak ketika memperoleh bahasa pertama. Bahasa pertama yang dimaksudkan adalah kebolehan kanak-kanak untuk memperoleh ujaran demi ujaran sehingga lahirnya sintaksis yang bermakna, sama ada bagi dirinya sendiri ataupun orang lain yang dilawan berinteraksi. Pada masa yang sama, pemerolehan B1 kanak-kanak adalah lebih tertumpu kepada fungsi komunikasi berbanding bentuk bahasa yang digunakan. Kanak-kanak dikatakan memperoleh sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara formal yang mungkin diperoleh daripada bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat. Contohnya, kanak-kanak boleh menuturkan holo frasa ma dan pa dengan sendirinya tanpa perlu diajar oleh orang lain. Hal ini demikian kerana dari lahir, kanak-kanak telah dibekalkan dengan peranti bahasa atau LAD (Language Acquisition Device). Peranti bahasa membolehkan kanak-kanak memperoleh dan menguasai bahasa yang didengar dengan mudah.

Pemerolehan Bahasa Kedua (B2)
Pemerolehan bahasa kedua (B2) dikatakan berlaku ketika kanak-kanak mula bersekolah. Bahasa kedua juga diperoleh setelah kanak-kanak dapat menguasai bahasa pertama. Umumnya, hasil belajar B2 tidak sebaik hasil belajar B1. Walau bagaimanapun, proses belajar kanak-kanak terjadi dengan sangat pantas dan lancar kerana otak mereka masih begitu peka menerima rangsangan bahasa. Pemerolehan bahasa merupakan proses yang bersamaan dengan cara kanak-kanak mengembangkan kemampuan dalam B1 mereka. Pemerolehan bahasa dikatakan melalui proses bawah sedar. Pemeroleh bahasa tidak selalunya sedar akan kenyataan bahawa mereka menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Perkembangkan kompetensi dalam bahasa kedua juga dapat dilakukan dengan unsur motivasi. Pemerolahan bahasa kedua yang pantas berlaku bergantung pada suasana persekitaran persekolahan. Hal ini demikian kerana kepelbagaian bahasa etnik di sekolah akan menggalakkan perkembangan bahasa kedua. Contohnya, penggunaan bahasa Inggeris oleh kaum Cina dan India telah menyebabkan perkembangan bahasa kanak-kanak Melayu berkembang kerana mereka akan turut sama menggunakannya.