Pertuturan lancar dalam kalangan kanak-kanak bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi menerusi pelbagai proses yang rencam. Usaha tersebut memerlukan latihan intensif dalam proses perkembangan bahasa melalui pelbagai tahap sehinggalah wujud perubahan yang sempurna. Hakikatnya, kebolehan berbahasa kanak-kanak ditunjangi oleh perkembangan fizikal dan intelektual. Perkara yang paling mengagumkan, pada usia seawal beberapa bulan, kanak-kanak telah dapat berkomunikasi dengan orang di sekitarnya. Berkaitan dengan fenomena berkenaan, Miler dan Gildea (1987) mengulas bahawa pemerolehan bahasa kanak-kanak tidak berlaku secara spontan, tetapi bertahap.
Kebolehan berbahasa kanak-kanak dikatakan berkembang seiring dengan perkembangan fizikal, mental, intelektual dan sosial. Oleh sebab itu, perkembangan tersebut dikaitkan dengan keseimbangan dinamik atau satu rangkaian yang bergerak daripada bunyi sederhana kepada komunikasi kompleks. Miler dan Gildea (1987) turut merumuskan bahawa perkembangan bahasa kanak-kanak tidak hanya dipengaruhi faktor biologi atau sosial sahaja, tetapi dikaitkan dengan tahap perkembangan bahasa. Kanak-kanak secara biologisnya bersedia untuk belajar bahasa sambil berinteraksi. Perkembangan tersebut juga dipengaruhi oleh penguasaan kanak-kanak tentang sistem yang dipelajarinya, iaitu:
Fonologi
Pada usia enam minggu, kanak-kanak mula menghasilkan bunyi yang mirip dengan bunyi konsosnan dan vokal, namun tidak dapat dipastikan bentuknya. Proses ini dinamakan agahan. Sewaktu usia mencecah enam bulan, kanak-kanak mula menghasilkan campuran bunyi konsonan dan vokal yang dinamakan bebelan. Sebagai contoh, vokal /a/ dan konsonan /m/ bentuknya adalah KV….mamama.
Morfologi
Pada usia tiga tahun, kanak-kanak sudah dapat membentuk beberapa morfem yang menunjukkan fungsi gramatikal nomina dan verba. Kesalahan gramatikal sering terjadi pada usia ini kerana kanak-kanak masih berusaha menyatakan kehendak yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, kanak-kanak hanya mengambil sebahagian daripada ayat yang ingin dinyatakan, iaitu nak mam… Pada usia 10 tahun, kanak-kanak terus membaiki bahasanya.
Sintaksis
Secara umumnya, pemerolehan sintaksis bermula apabila kanak-kanak dapat mengembangkan dua atau lebih kata. Steinberg (1982) membahagikan perkembangan sintaksis berkenaan kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah telegraf - mengucapkan gabungan kata secara ringkas atau dibina dengan hanya menggunakan kata inti. Contohnya, mau akan (mahu makan). Kedua, morfem - menggunakan kata yang lebih rencam. Sebagai contoh, Ibu belikan adik baju (penggunaan morfem terikat, iaitu ...-kan). Ketiga, transformasi - perubahan ayat mudah kepada yang lebih rencam, seperti ayat tanya. Contoh ayat ialah Atuk kat mana? (Zulkifly Hamid 2006: 49).
Semantik
Kebanyakan kanak-kanak memperoleh 50 kosa kata dalam sesuatu masa sehingga usia mencecah 18 bulan. Perkembangannya semakin giat apabila kanak-kanak meningkat usia enam tahun. Hal ini demikian kerana secara purata kanak-kanak akan mempelajari lima perkataan baharu sehari. Oleh itu, jumlah peningkatan kosa kata adalah kira-kira 80,000 setelah memasuki alam persekolahan (Owen & Robert, 1996). Seterusnya, kanak-kanak dikatakan sudah mampu membezakan makna pada usia empat tahun. Misalnya, kanak-kanak memahami perbezaan ….Which stick is longer? (Frank Paker 1994: 218). Dalam kajian yang dilakukan oleh Dan Isaac Slobin (1992: 86) terhadap kanak-kanak berusia dua tahun, didapati kanak-kanak tersebut memiliki satu konfigurasi semantik dalam mindanya yang melibatkan satu predikat dan hujahan. Selanjutnya, menurut kajian yang dijalankan oleh Antinucci dan Parisi (1974) dalam Dan Isaac Slobin (1992), pada peringkat semantik, kanak-kanak boleh menyenaraikan beberapa jenis adverba. Antaranya lokatif, waktu, tambahan, cara, alat dan kesalingan. Berdasarkan dapatan lain pula, semasa kanak-kanak berusia antara 4 - 5 tahun, terdapat dua jenis penambahan makna kata. Secara horizontal, kanak-kanak mampu memahami, selain menggunakan sesuatu kata dengan makna berbeza, termasuk penambahan dari segi vertikal; jumlah kata yang difahami dan digunakan dengan tepat (Owen & Robert, 1996).
Kajian tentang kemampuan kanak-kanak tidak bersekolah memaparkan bahawa kata berubah melalui dua cara, iaitu konseptual; makna berdasarkan pengalaman individu yang bersifat sosial. Kedua, sintaksis; makna dalam ayat yang menunjukkan hubungan sangat kompleks. Di samping itu, kajian bahasa telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah mula mengenali banyak kosa kata sebelum usia mencapai enam tahun, namum mereka masih perlu belajar memahami makna sebelum berupaya menguasai semantik orang dewasa. Kebanyakan pemahaman makna berlaku semasa mereka berada dalam alam prasekolah (Owen & Robert, 1996). Penguasaan makna sukar diperoleh kanak-kanak seusia 4 - 6 tahun kerana dalam semua bahasa terdapat banyak makna untuk satu perkataan. Sebagai contoh, tentang dalam bahasa Melayu boleh membawa pelbagai maksud. Menurut Owen dan Robert juga, pertambahan pemahaman makna yang sinonim hanya berlaku semasa kanak-kanak memasuki alam prasekolah dan semakin meningkat apabila berada di sekolah rendah.
Pragmatik
Lazimnya dalam semantik, makna dianggap sebagai pertalian hubungan antara perkataan dan penutur, namum dalam pemerolehan pragmatik melibatkan proses yang rencam. Pragmatik menganggap makna sebagai pertalian tiga segi, iaitu hubungan antara perkataan, penutur dan konteks. Namun begitu, kedua-dua penguasaan tersebut saling melengkapi dalam membantu kanak-kanak memahami ujaran (Zaimatul Azma Zainon, 2006: 5). Perkembangan penguasaan pragmatik bermula selepas prasekolah kerana pada usia berkenaan, kanak-kanak telah terdedah dengan persekitaran yang memerlukan pemahaman terhadap persekitaran.
Rujukan
Miler, G. & Gildea, P. (1987). How Children Learns Words. Sciencetific Americana 257.3, September: 86 - 91.
Steinberg, D. (1982). Psychplinguistic: Language, mind and world. London: Longman.
Zulkifley Hamid (2006). Aplikasi psikolinguistik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Selangor: PTS Pendidikan Profesional.
Owens Jr. & Robert, E. (1996). Language development: An introduction. Boston: Allyn & Bacon.
Frank Parker (1994). (terj. Raja Rahawani Raja Mamat). Linguistik untuk bukan ahli linguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dan Isaac Slobin (1992). (terj. Ton Ibrahim 1992). Ilmu psikolinguistik. Kuala Lumpur: DBP.
Zaitul Azma Zainon Hamzah (2006). Memahami pertuturan kanak-kanak melalui analisis pragmatik. Serdang: UPM.
Wednesday, January 13, 2010
PROSES PERKEMBANGAN BAHASA KANAK-KANAK
Posted by Dr. Adenan Ayob at 9:26 PM
Labels: PSIKOLINGUISTIK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment