Gangguan komunikasi bermaksud berbagai-bagai masalah dalam berbahasa, bertutur dan mendengar. Gangguan bertutur dan berbahasa berpunca daripada masalah artikulasi, suara, kegagapan, aphasia (kesulitan menggunakan kata-kata yang biasanya kesan daripada kecederaan otak). Selain itu, gangguan juga melibatkan kelambatan bertutur atau berbahasa. Kelambatan bertutur dan berbahasa disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuklah kehilangan pendengaran.
Gangguan bertutur dan berbahasa juga berhubung rapat dengan masalah lain, seperti fungsi otot mulut atau oral motor, di samping fungsi pendengaran. Kelambatan dan gangguan bermula daripada bentuk yang sederhana, seperti bunyi suara yang “tidak normal” (sengau dan serak) hinggalah ketidakmampuan untuk memahami atau menggunakan bahasa. Kemungkinan juga ketidakmampuan mekanisme oral motor untuk bertutur.
Gangguan pendengaran adalah terdiri daripada gangguan pendengaran sebahagian dan pendengaran menyeluruh atau tuli. Tuli didefinisikan sebagai kehilangan pendengaran yang mengakibatkan komunikasi menjadi sukar atau tidak dapat dilakukan tanpa bantuan amplifikasi (alat bantu dengar).
Terdapat empat jenis gangguan pendengaran. Pertama, gangguan pendengaran konduktif, iaitu terganggunya pendengaran akibat penyakit atau telinga tersumbat di bahagian luar atau tengah (biasanya dapat diatasi dengan alat bantu dengar). Kedua, gangguan sensorineural, iaitu terganggunya pendengaran akibat kerosakan pada sel-sel rambut sensoris yang terdapat pada telinga dalam atau pada pembuluh saraf. Ketiga, gangguan pendengaran gabungan (antara gangguan pendengaran konduktif dan sensorineural), manakala gangguan pendengaran sentral yang dimaksudkan gangguan pendengaran akibat kecederaan atau rosaknya saraf-saraf otak.
Banyak gangguan komunikasi berlaku adalah kesan daripada gangguan belajar (learning disability), palsi serebral (cerebral palsy), kebelakangan mental (mental retardation) dan kerosakan pada celahan bibir dan lelangit mulut.
Thursday, March 4, 2010
Gangguan Komunikasi
Posted by Dr. Adenan Ayob at 5:58 AM
Labels: Bahan Kajian Psikolinguistik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment